Tuesday, April 28, 2009

EPL @ liga super..

Bolasepak adalah satu sukan yang dekat dlm diri aku..ramai org "lama" meperkatakan tentang kegemilangan bolasepak Malaysia dahulu. Nama- nama besar seperti Mokhtar Dahari, Santokh Singh dll sudah sebati dlm diri rakyat kita. Tapi itu dulu..Sekarang ni kita sebagai rakyat malaysia selalu memperlekehkan kualiti bolasepak negara. Tendang melambung, hantaran tak sampai, lembik dan sebagainya antara "lekehan" yg biasa didengar.
Walaubagaimanapun,aku melihat bolasepak kita melambangkan rakyat kita sendiri. Kita kata pemain kita tiada disiplin, aku yakin kita pun sama. Hisap rokok ditempat awam, buang puntung rokok merata-rata, meludah sana-sini..kalau kita sayangkan negara kita, disiplinkan diri kita baru boleh kita suruh orang lain berdisiplin.
Bolasepak kita kalau nak dibandingkan dengan EPL jauh bezanya.Masalahnya disini, kebanyakan kita terlalu memuja EPL..kalau chelsea atau arsenal dtg Malaysia..stadium cukup penuh..tapi cuba kalau Malaysia lwn Vietnam..penyokong siapa ramai..itu lwn kat negara kita!!kalau lwn kat luar, boleh kira dgn jari penyokong kita. Satu benda yang aku paling sedih kalau team EPL dtg Malaysia, semua dtg pakai jersi team EPL tu..sebagai contoh kalau Chelsea jaringkan gol, semua gembira..sebab tu aku x pernah gi stadium kalau Man Utd dtg sini sebab aku x sanggup tgk gelagat org kita..aku sokong Man.Utd tapi dalam hati aku ada "HARIMAU MALAYA" Saja..

Wednesday, February 25, 2009

bolasepak dan futsal

Kalau cerita pasal ni memang aku suka. Tapi aku tak terfikir nak cerita lebih-lebih. Kat sini aku cerita pengalaman aku lwn bola dgn foreigner. masa tu kat UPM ada persahabatan antara kolej 13 dengan pelajar luar negara. skill hampir sama tapi saiz badan toksah nak cerita!! aku rasa macam langgar dinding!langsung tak ada kesan. akhir sekali kitorang dimalukan 4-0! Baru aku terfikir, agak-agaknya macam ni rasa pemain malaysia masa lawan dengan pasukan luar. Mesti diorang rasa takut. Mula2 aku takut.Tapi lepas mamat, penjaga gol kitorang kena langgar sampai patah rahang, terus aku jadi marah! tapi marah aku tak kemana. Kalah juga..pengajarannyer kat sini.. Berlatih dua kali ganda lagi rajin dari orang luar..insyaallah, kita boleh jadi kuat!!

Friday, December 5, 2008

Ilmu

Salam..
dah lama aku tidak menulis. Terlalu sibuk dengan kerja yang tidak pernah habis untuk disudahkan. Hari ini aku teringin hendak menulis oleh kerana cemburu dengan sahabatku yang baru pulang dari Thailand 2 minggu lepas. Kehadirannya ke sana adalah untuk menghadiri seminar dan membentangkan tajuk berkaitan projek siswazahnya. Aku cemburu sebab aku masih belum berpeluang untuk kesana dan yang lebih aku cemburu ialah kesempatannya untuk bertemu dan membentangkan projeknya dihadapan ilmuan terkemuka dunia. Apa yang aku hormat sangat tentang kawan aku seorang ni ialah keazamannya untuk bersaing dan membuktikan dia pun boleh sama hebat dengan orang luar disana. Aku setuju dengan katanya, " aku pergi sana sebab ilmu. Pakai duit sendiri pun aku tak kisah." Tercabar aku dibuatnya. Pelbagai pengalaman yang diceritakan termasuk pengalamannya berada di universiti Di Thailand. Melihat gambar-gambar dia disana membuatkan aku kagum. Itu baru gambar, belum lagi tengok dengan mata sendiri. Selalu kita anggap kemudahahan kita kelas pertama dan kalau hendak dibandingkan dengan jiran kita jauh kehadapan. Tapi tahukan kita, di universiti luar, setiap fakulti menghasilkan jurnal sendiri...ahh!! tak kisahlah..yang pasti azam aku tahun depan aku nak bentang aku punya projek pula kat luar negara.kalau aku berjaya, aku nak tayang semua gambar aku pasal pembentangan tersebut..

Wednesday, June 25, 2008

KITA, NAFSU DAN SIKAP..

Aku selalu berpendapat dan aku yakin begitu juga dengan yang lain bahawa perpaduan itu amat penting terutama di dalam negara yang berbilang kaum. Tetapi aku juga berpendapat, perpaduan yang kekal akan hanya boleh dicapai dengan wujudnya keseimbangan ekonomi. Walaubagaimanapun, secara semulajadinya perkara ini tidak akan tercapai selagi manusia itu mempunyai nafsu. Oleh itu, adalah mustahil kerana nafsu itu adalah suatu yang tidak boleh dipisahkan dengan manusia itu sendiri. Aku yakin tidak ada manusia di dunia ini yang tidak mempunyai nafsu. Disebabkan wujudnya nafsu dalam diri kita ini, apa yang dihajati pasti akan dicari dan apa yang diperolehi pasti akan dikekal dan ditambah kononnya atas dasar kestabilan. Itulah manusia, kita tidak boleh lari dari nafsu. Disebabkan nafsu kepuasan tidak akan ada dalam diri setiap manusia. Aku bersetuju bahawa nafsu juga membawa kepada kebaikan seperti bersifat rajin, betanggungjawab dan sebagainya, tetapi ianya juga membawa kepada sifat tamak dan sifat ini akan membawa kepada sesuatu yang lebih dahsyat seperti peperangan. Kalau bukan nafsu tidak wujud peperangan dunia pertama dan kedua. Atas dasar nafsu manusia akan cuba untuk mengekalkan kuasa selama yang mungkin dan atas dasar nafsu orang yang lemah akan ditindas. Sebab itu islam mewajibkan kita menunaikan solat lima dan zakat agar nafsu kita sedikit sebanyak dapat dibendung.

Apa yang pasti, aku amat bersetuju saranan Tun Dr. Mahathir tentang apa itu perpaduan. Melayu perlu membentuk perpaduan! Walaubagaimanapun, aku juga berpendapat, kita juga perlu membentuk perpaduan dengan bangsa dan agama yang lain kerana di Malaysia ini bukan hanya melayu dan agama islam sahaja yang wujud dan melayu juga perlu ada sifat bahawa kita juga setanding dengan bangsa lain. Aku dapati, selama 27 tahun aku hidup kat bumi Malaysia ini ada beberapa petikan ayat yang selalu diungkapkan oleh orang melayu dan selalunya agak negatif antaranya ialah:
  1. " Cina memanglah pandai berniaga, dia tak payah sembahyang, halal haram pun tak peduli"
  2. "Aku tak boleh nak presentla, aku tak pandai cakap depan orang, Bahasa inggeris aku pun teruk, cina lainla hari-hari cakap bahasa inggeris"
  3. "Nanti kau habis belajar nanti engkau nak kerja apa? Kursus yang engkau ambil tu, aku rasa susahla nak dapat kerja" ( kadangkala ayat ini diungkap oleh cikgu yang pastinya melemahkan semangat anak muda tersebut)
  4. " Habis belajar nanti kerjalah dengan kerajaan, kalau dapat jadi cikgu lagi bagus..kerja senang..cuti pun banyak"
  5. " Aku masuk parti ni sebab nanti kalau aku nak berniaga, ada banyak kabel..nak dapat kontrak pun senang"
Setuju atau tidak, itu aku tidak kisah.Tapi apa yang pasti inilah yang aku selalu dengar lebih-lebih lagi semasa aku belajar dekat universiti dulu. Aku pun bukan pun bagus sangat nak cakap lebih-lebih tapi inilah yang selalu aku dengar.Renung-renungkanlah...

Wednesday, June 18, 2008

MELAYU..

Melayu terbahagi kepada etnik melayu dan bangsa melayu. Etnik Melayu berbeza dari bangsa melayu kerana definisinya lebih spesifik. Etnik melayu dikatakan berasal dari Borneo dan berkembang hingga ke sumatra dan seterusnya ke Semenanjung Melayu. Bangsa Melayu pula istilahnya lebih luas. Pada 1775, satu thesis doktor falsafah mengatakan, terdapat 4 jenis bangsa utama manusia mengikut warna kulit iaitu Caucasia (putih), Ethiopia (hitam), orang asli Amerika (merah), and Mongolia (kuning). Pada Tahun 1795, Johann Friedrich Blumenbach (1752-1840) menambah bangsa melayu menjadikan lima kesemuanya. Bangsa melayu mengikut Blumenbach adlah bangsa antara Ethiopian dan Mongolia. Di malaysia, seperti yang termaktub dalam perlembagaan malaysia artikel 160, melayu di istilahkan sebagai warganegara malaysia yang menganut agama islam, berpegang pada budaya melayu dan tinggal samada di Malaysia ataupun Singapura. Sebenarnya, definisi ini adalah berlainan dengan definisi “etnik melayu” dan ianya sangat rapuh dan longgar yang menyebabkan bangsa lain dari etnik yang berlainan juga boleh bergelar “melayu”.

Populasi Melayu di Malaysia pada 2004 adalah sebanyak 50.4 peratus. Daripada istilah diatas, Melayu Malaysia yang keluar dari islam adalah bukan boleh lagi digelar Melayu manakala bagi bukan Melayu yang memeluk islam boleh digelar Melayu tetapi dengan beberapa faktor lain. Sebagai contoh salah satu dari ibu atau bapa adalah melayu muslim, maka anak tersebut serta merta digelar melayu atau bumiputera.

Melayu di Malaysia, tertakluk kepada hak istimewa sama seperti bumiputera yang lain. Pada tahun 1971 selepas terjadinya rusuhan kaum, Dasar Ekonomi Baru telah ditubuhkan oleh Tun Abdul Razak untuk meningkatkan taraf ekonomi Bumiputera Amnya dan Melayu khususnya disamping tidak meminggirkan bangsa lain yang terdapat di Malaysia. Ianya bertujuan untuk memperbetulkan ketidak seimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi. Ramai pihak menganggap ketidak seimbangan ekonomi berpunca dari dasar pecah dan perintah yang diamalkan oleh penjajah Inggeris di Tanah Melayu sebelum merdeka. Melalui dasar ini orang Melayu kebanyakannya menetap di kawasan luar bandar (kampung) dan bekerja sebagai nelayan dan petani, orang Cina menetap di kawasan bandar dan kawasan perlombongan serta bekerja sebagai peniaga dan pelombong bijih timah, manakala orang India kebanyakannya tinggal di kawasan ladang-ladang dan bekerja sebagai buruh, secara tidak langsung telah mewujudkan perasaan curiga mencurigai antara satu sama lain yang merupakan bom jangka yang menjadi teras peristiwa 13 Mei 1969. Ini bermakna isu utama di sini adalah kemiskinan. Antara hak istimewa yang utama ialah dasar 30 peratus pegangan ekonomi melayu. Untuk mempastikan dasar ini berjaya beberapa polisi telah dibentuk antaranya ialah:

1. Syarikat yang tersenarai dalam Bursa Saham Kuala Lumpur hendaklah memperolehi pegangan ekuiti bumiputera sepanyak 30 peratus untuk memenuhi keperluan penyenaraian. Syarikat asing yang ingin tersenarai juga hendaklah memenuhi kriteria tersebut.

2. Beberapa peratus rumah yang baru siap dibina hendaklah dijual kepada bumiputera dengan pemberian diskaun sebanyak 7 peratus.

3. Skim amanah Saham khas untuk bumiputera seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB).

4. Kebanyakan tender projek kerajaan mensyaratkan syarikat yang memohon adalah syarikat bumiputera. Akibat daripada polisi ini, telah menyebabkan syarikat bukan bumiputera menggunakan bumiputera untuk mendapatkan tender kerajaan. Ini juga dipanggil “ali baba”.

5. Permit AP adalah dicipta untuk membolehkan bumiputera mengimport kereta untuk dijual di Malaysia. Ianya bertujuan supaya bumiputera mampu terlibat sama dalam industri automotif kerana syarikat yang memohon AP hendak mempunyai pegangan bumiputera sebanyak sekurang-kurangnya 70 peratus. Pada 2004, the Edge (suatu akhbar perniagaan Malaysia) menjangka bahawa setiap keping AP bernilai lebih kurang RM35,000. The Edge juga menjangka bahawa Nasimuddin Amin, pengerusi Naza Group menerima 6,387 keping pada 2003, menjadikannya penerima AP terbesar. 12,234 keping AP diisu pada 2003. Tambahan pula, pembuat kereta asing diwajibkan membayar antara 140% dan 300% duti import. Ekoran dasar-dasar ini, banyak jutawan Bumiputera lahir dengan senangnya daripada hubungan mereka.

Walaubagaimanapun, keistimewaan yang diberi menyebabkan sesetengah pihak menganggap bangsa Melayu tidak mampu berdiri sendiri. Sebagai contoh Tun Dr. Mahathir pernah membuat kenyataan yang antara lainnya seperti berikut:

"Kami telah cuba memberitahu mereka kalau mereka bergantung pada subsidi, mereka akan terus menjadi lemah. Tapi mereka macam tidak faham. Kami memberitahu mereka kalau mereka guna tongkat, mereka tidak boleh berdiri. Buanglah tongkat, berdiri tegak kerana anda masih ada kemampuan itu. Saya pernah cakap tentang ini dan sebagai seorang doktor saya amat tahu maksud tongkat tetapi mereka tetap mahu cari jalan senang. Kalau saya ada AP dan jualkannya untuk mendapatkan wang, itu tiada masalah, kata mereka."

Graduan melayu juga tidak lari dari masalah “tongkat” dimana ramai graduan melayu menganggur dan tidak mampu berkomunikasi dengan baik dalam bahasa inggeris menyebabkan syarikat luar negara yang berpengkalan di negara ini tidak mengambil graduan melayu sebagai pekerja! Melayu juga masih tidak banyak mengambil kursus-kursus kritikal seperti akauntan, jurutera dan perubatan. Sebagai contoh setakat 2007, kaum Cina Malaysia menguasai profesyen akauntan, arkitet dan jurutera manakala kaum India Malaysia menguasai profesyen veterinarian, doktor, peguam dan doktor gigi jauh melebihi nisbah populasi masing-masing berbanding Bumiputera.

Untuk bercerita tentang Melayu juga, kita tidak boleh lari tentang konsep “ketuanan Melayu”. Konsep ini adalah satu konsep dimana melayu dianggap Tuan di bumi Malaysia ini dan bangsa cina dan india yang dianggap sebagai pendatang disifatkan terhutang budi kepada melayu kerana membenarkan mereka bermastautin di negara ini. Sebagai timbal balik kerana kesanggupan dan kesediaan apa yang disifatkan sebagai pengorbanan orang Melayu itu, perlembagaan memberi peruntukan khas kepada orang Melayu dalam bentuk hak istimewa dan ini dimaktubkan di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia). Persetujuan quid pro quo atau saling beri-memberi ini biasanya dipanggil Kontrak Sosial. Konsep Ketuanan Melayu ini sering kali dijadikan retorik ahli politik Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang berpengaruh semenjak 50 tahun Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia) mencapai kemerdekaannya dari British sebagai usaha meraih sokongan orang Melayu walaupun pada hakikatnya tidak ramai orang Melayu yang arif tentang konsep atau fahaman ini.

UMNO adalah parti politik terbesar di Malaysia daa ianya merupakan pengasas kepada penubuhan parti Barisan Nasional (BN). UMNO dikenali sebagai penjaga nasionalisme Melayu atau ketuanan Melayu dan ideologi Islam tulen, yang memperjuangkan bahawa orang Melayu dan orang-orang Muslim lain merupakan orang peribumi di Malaysia, oleh itu berhak menerima keistimewaan sebagai hak semenjak lahir. Pada 11 Mei 1946, Kongres Melayu Se-Malaya ketiga dan perhimpunan agung pertama Pertubuhan Melayu Kebangsaan Melayu Bersatu atau PEKEMBAR (UMNO) berlangsung di Istana Besar Johor Bahru dan Perlembagaan UMNO telah diterima dan diluluskan oleh para peserta. UMNO pun lahirlah secara rasmi.

Selepas beberapa detik dari zaman Kesultanan melayu melaka, sebelum merdeka sehingga zaman pasca merdeka, mungkin ada benarnya kata-kata hang Tuah iaitu “Takkan melayu hilang di dunia”. Tetapi adakah kewujudan bangsa melayu ini hanya sekadar melepaskan batuk ditangga. Jika kita lihat bangsa melayu seperti sudah tidak percaya kepada asal-usul mereka. Lupa cara hidup islam, lupa adat dan terlalu memuja budaya Barat. Inikah melayu yang kita mahukan. Inikah “tuan” yang kita inginkan untuk memerintah Malaysia. Bangsa lain tidak akan hormat pada kita jika kita tidak hormat pada diri sendiri. Ingatlah wahai melayu, “ PERJUANGAN BELUM SELESAI”.

Tuesday, June 17, 2008

Belajar atau kerja

Belajar atau menuntut ilmu adalah suatu yang dituntut dalam islam. pelbagai ilmu yang boleh kita perolehi asalkan kita ada keinginan untuk memperolehinya. Menuntut ilmu tidak semestinya memerlukan seseorang itu untuk melanjutkan pengajian ke menara gading tetapi semasa kerja juga kita perlu untuk meningkatkan ilmu dan pengetahuan agar dapat kita bersaing secara sihat dengan pekerja lain. Ada suatu persepsi yang besar dikalangan kita yang menganggap melanjutkan pengajian ke menara gading adalah untuk menjamin kerjaya yang cemerlang. Tetapi pada zaman sekarang ini ramai graduan yang menganggur terutama melayu kerana tidak mampu bersaing dengan bangsa lain. Kelemahan utama yang didapati adalah kelemahan dalam menguasai bahasa inggeris. Sepanjang pengalaman saya, pelajar melayu selalu mengaku kalah dalam mempelajari bahasa inggeris. Ada sesetengah pelajar yang menyerahkan bulat-bulat tugasan kepada kawan yang agak mahir dalam inggeris untuk diterjemahkan tanpa ada usaha untuk melakukannya sendiri. Diakui, kebanyakan dari kita berasal dari kampung dan terdedah kepada persekitaran "kampung". Seperti biasa, dalam mencari ilmu kalau tiada kesilapan kita tidak akan mahir, begitu juga dalam menguasai bahasa inggeris. walaubagaimanasekalipun, saya tidak bersetuju bahasa inggeris digunakan melebihi penggunaan bahasa melayu dalam hidupan seharian terutamanya majlis rasmi. Ini kerana ianya menunjukkan kita masih tidak bebas dari penjajahan. Kita lihat di Indonesia, setiap terbitan buku baru yang diterbitkan dlam bahasa inggeris akan diterjemahkan segera dalam bahasa indonesia, tetapi di malaysia tidak!
Berbalik kepada menuntut ilmu ,setiap dari kita perlu membuang sifat 'belajar kerana kerja bagus' tetapi perlu dipupuk dalam hati bahawa ilmu yang kita perolehi adalah untuk masa depan agama, bangsa dan negara. saya percaya ilmu yang kita perolehi akan 'lekat' jika kita ikhlas dan bukan semata-semata kerana 'kerja bagus'. Saya juga lihat, kebanyakan dari kita jika tiada kerja bagus selepas bergraduat barulah 'terkebil-kebil' nak sambung belajar. Sikap ini tidak membantu kita menjadi orang cemerlang. kita perlu tetap pendirian. Kalau kata nak kerja, fokus dan belajar bagaimana hendak menarik perhatian majikan untuk mengambil kita. belajar bahasa inggeris, berkomunikasi dan sebagainya yang boleh. Kita juga perlu ada impian yang besar. kalau kita kerja apa yang kita hendak. sematkan dalam hati, "Aku nak jadi CEO" atau sebagainya yang meningkatkan motivasi kita.
Kalau kita nak sambung pengajian keperingkat yang lebih tinggi, kita juga mesti ada impian yang besar. Jika hendak menjadi pensyarah mesti bersebab. Kalau setakat nak gaji dan kerja selesa, lebih baik lupakan! Aku pun nak jadi pensyarah! tapi pensyarah "unggul". Unggul sehingga universiti Harvard sekalipun "Tabik" kepada aku. Amin..

p/s menunggu waktu untuk menjadi Naib canselor..

Monday, June 16, 2008

Gunung Nuang dan sampah..




Aku dan Nuang memang tidak dapat dipisahkan. Selepas beberapa kali ke sini, aku tetap teruja untuk ke sini. Penat, sakit dan lenguh badan sudah tidak menjadi soal asalkan aku puas untuk sekali sekala untuk menghirup udara segar, dengan sungai yang tersangat jernih serta sejuk and mencapai kepuasan untuk mencapai puncak gunung setinggi 1493 meter. Walaupun ada kawan aku kata, “ Kau nak pergi Gunung nuang, tak ada tempat lain ke? ” tapi aku tidak kisah asalkan aku keluar peluh. Tetapi kali ini lebih istimewa sebab aku bawa insan teristimewa ke gunung ini bersama rakan-rakan “segunungku”. Walaupun dari riak wajahnya macam tak mampu menawan puncak gunung itu, tetapi dia membuktikan dia mampu dan lebih manis dia adalah orang pertama menawan puncak. Biasalah tu, budak ‘hutan’! setakat naik gunung rendah-rendah ni boleh sahaja.

Walaubagaimanapun, disebalik keindahan alam ciptaan Allah S.W.T ini, terdapat satu sikap yang aku rasa tidak bertanggungjawab, Bodoh dan seangkatan dengannya! Penat aku naik atas, baru saja nak pasang khemah, terhidang pula mata aku dengan sampah yang agak banyak dan bau yang boleh tahan. Hilang selera aku! Jenis apa orang macam ni. Orang nak ‘camping’ dia pun nak juga, tapi tiada otak. Siapa nak bawa turun sampah yang banyak tu. Lain kali bawa turun sekali sampah tu. Bukannya berat sangat pun. Kalau malas, tanam sahaja sampah tu. Nasib baiklah air sungainya masih cantik lagi. Sejuk sikit hati ni. Sepanjang 3 hari berada diatas gunung, aku dapati sesuatu perlu dilakukan agar gunung sentiasa bersih dan semua pengunjung yang datang tahu tanggungjawab masing-masing. Tetapi yang aku sangat kagum adalah sikap segelintir orang yang agak berusia yang dikatakan datang setiap minggu mendaki selam lebih 5 jam, semata- mata untuk mengutip sampah! Kebanyakan mereka ini adalah bangsa cina yang menganggap aktiviti ini adalah untuk kesihatan. Kalau tiada mereka semua ini, pasti persekitaran gunung semakin hari semakin tercemar.

Apa sekali pun, Aku pasti akan ke sini lagi. Maklumlah, Budak KL macam aku ni, ini sahaja gunung yang paling dekat dan menjimatkan kos untuk aku yang punya ongkos yang tidak seberapa ini.